Wednesday 4 April 2012

Dilema Bahasa Melayu

Dilema Bahasa Melayu
Posted: Oktober 12, 2006 in think tank thought

Dalam sistem hidup manusia, bahasa berperanan sebagai pengawal kepada proses ketamadunan. Ibnu Khaldun dalam ‘Mukaddimah’ menyatakan bahawa sesebuah negara wujud akibat daripada wujudnya bahasa dan budaya dalam proses pembinaan tamadun dan peradaban manusia.
Sesuatu bangsa itu tidak teguh jika tidak dipertahankan bahasa dan budayanya. Kedua-duanya merupakan agen utama perpaduan di antara sesuatu bangsa. Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada beberapa kaum utama ini, sebagai langkah memastikan masyarakat pelbagai kaum di negara ini bersatu padu, adanya bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan adalah sangat penting.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia melalui Perkara 152 (1) memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 pula menghendaki bahasa kebangsaan digunakan untuk maksud rasmi.
Bahasa Melayu merupakan bahasa kebanggaan bangsa Melayu sejak zaman-berzaman. Begitulah sepatutnya. Keagungannya tidak dapat disangkal seawal abad pertama Masihi lagi apabila ia menjadi bahasa ekonomi yang pada ketika itu disebut sebagai ‘bahasa pasar’ kerana sifatnya sebagai ‘lingua franca’ ekonomi perdagangan dan sosial di bumi Nusantara. Pada ketika itu, tidak kiralah dari hemisfera sebelah mana, asal sahaja berhajat untuk meluaskan jalan dagangan, wajib mempelajari Bahasa Melayu.
Bukan sahaja sebagai bahasa ekonomi, Bahasa Melayu turut menjadi bahasa ilmu yang unggul sejak tahun 673 Sebelum Masihi di mana Pendeta I Tsing yang ingin mempelajari agama Buddha telah menuntut di Sriwijaya dan perlu mempelajari Bahasa Melayu untuk tujuan itu.
Itu semua sejarah. Masa-masa lalu yang pernah dibangga-banggakan sebelum ini. Kini, Bahasa Melayu seakan ‘melayu’ di bumi sendiri. Pelbagai langkah telah diambil untuk mengembalikan semula keagungannya, namun tidak kurang juga langkah-langkah yang ‘tersilap langkah’ seakan merendahkannya pula. Bahasa Melayu yang dahulunya dipandang sebagai ‘lingua franca’ dunia perdagangan dan ilmu, kini dikelaskan sebagai ‘bahasa kampungan’ yang tidak mampu membawa pengamalnya ke arah kemajuan.
Bertitik-tolak dari ini, keagungan bahasa Melayu terus merudum dan dipandang sepi. Bahasa ilmu dan perdagangan atau kini disebut sebagai bahasa kemajuan dirampas oleh bahasa Inggeris akibat daripada suatu peralihan pesat yang dipanggil globalisasi. Lebih mendukacitakan, wujud pula satu golongan yang digelar ‘Inggerisofili’ yang muncul dengan nostalgia mereka yang amat tebal terhadap bahasa Inggeris; budaya ‘pelacuran’ bahasa wujud dan berleluasa tanpa sebarang sekatan.
Di kalangan golongan elit Malaysia juga telah timbul satu perasaan kecurigaan tentang kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa penghantar ilmu sains dan teknologi. Selain itu penggunaan bahasa Inggeris yang memang berleluasa dalam sektor swasta juga tidak pernah tergugat atau digugat (Hashim Musa 1996).
Satu lagi titik besar yang merubah martabat dan kedudukan bahasa Melayu adalah Akta Pendidikan 1996, tafsiran Seksyen 2 yang menerangkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa penghantar di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Walau bagaimanapun, menurut Seksyen 17(1) Menteri ada kuasa mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di mana-mana institusi pendidikan lain.
Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan iaitu dengan syarat bahawa tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain.
Nik Safiah Karim (1984) pernah mengatakan bahawa pencapaian taraf keintelektualan bahasa Melayu akan menjadi lebih nyata apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmiah. Namun, dengan pengecualian ini, wujudlah idea pembelajaran ilmu sains dan metametik dalam bahasa Inggeris sebagai syarat kononnya bagi mempersiapkan generasi pelapis negara dengan ilmu kemajuan; menerusi bahasa yang dipanggil ‘bahasa kemajuan’.
Terbaru, tiga langkah utama yang dirangkum daripada 13 syor telah ditetapkan bagi memperkasakan bahasa Melayu iaitu meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mengiktiraf peranan Jawatankuasa Induk Memperkasa Bahasa Kebangsaan (JKIMBK) dan usaha merancakkan industri buku kebangsaan.
Enam jawatankuasa dibentuk bagi melaksanakan program dan tindakan daripada 13 syor tersebut yang terdiri daripada Jawatankuasa Dasar Buku Negara, Jawatankuasa Dasar Bahasa dan Garis Panduan Pelaksanaan, Jawatankuasa Kerja Media Massa dan Jawatankuasa Penggalakkan /Pemupukan dan Kegiatan, Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam dan Jawatankuasa Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta.
Tidak cukup dengan itu, Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebagai berkata Kabinet telah bersetuju untuk memberi kuasa kepada DBP mendenda pencemar bahasa di negara ini. Denda RM1,000 itu akan dilaksanakan apabila Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 dipinda dan diluluskan Parlimen yang akan menyambung persidangan selepas Hari Raya ini. Namun, tumpuan hanya pada papan iklan dan notis awam.
Satu Khidmat Nasihat Bahasa untuk orang ramai dibuka bagi merujuk penggunaan bahasa yang betul untuk mengelakkan pencemaran bahasa kebangsaan (penulis lebih setuju jika dirujuk sebagai bahasa Melayu) terhadap paparan di tempat umum yang dibuat oleh pihak berkenaan. Kaedah pemantauan yang digunapakai oleh pihak DBP adalah dengan menggunakan jaringan kerja sedia ada yang terdiri daripada 159 munsyi bahasa (guru atau penulis yang berdaftar dengan DBP) di seluruh negara untuk melaporkan sebarang paparan awam yang mencemar bahasa.
Langkah-langkah ini diambil mungkin kerana sudah timbul kesedaran akibat daripada pengamatan sejarah lampau ataupun pengamatan ke arah hemisfera yang tidak luntur kecintaan pada bahasa natifnya, namun masih lagi mampu bergelar negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Jerman mungkin. Kerana ini kita benar-benar bersyukur.
Perlu diperhalusi, bahasa Melayu telah menjalankan fungsinya sebagai bahasa perpaduan dengan amat baik dan berkesan sehingga dapat mewujudkan persefahaman di kalangan penduduk pelbagai etnik di negara ini. Faktor ini tidak harus dilupakan kerana dengan adanya perpaduan inilah, maka negara dapat dibangunkan dan dimajukan seperti yang ada sekarang ini.

DASAR MBMMBI

DASAR MBMMBI

Kenyataan akhbar ini bertujuan menerangkan dengan lebih jelas kepada masyarakat mengenai pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2009 telah bersetuju melaksanakan mekanisme “soft landing” untuk P&P Sains dan Matematik bagi membantu pelajar-pelajar mengatasi masalah peralihan dasar berkenaan. Mekanisme “soft landing” adalah seperti berikut:

(i) P&P Sains dan Matematik boleh dilaksanakan dalam dwibahasa mulai tahun 2010 di sekolah rendah dan sekolah menengah. Dwibahasa bermaksud penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam P&P Sains dan Matematik di sekolah kebangsaaan dan sekolah menengah; dan penggunaan bahasa ibunda dan Bahasa Inggeris bagi SJK(C) dan SJK(T).

(ii) Pelaksanaan dasar ini bermula pada tahun 2012 bagi pelajar-pelajar Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.
Walau bagaimanapun mekanisme “soft landing” akan memberi ruang kepada pelajar-pelajar lain menyesuaikan diri dengan peralihan dasar di mana P&P boleh dilaksanakan dalam dwibahasa. Kohort-kohort yang terlibat adalah seperti berikut:

(a) Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.
(b) Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.
(c) Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2016.
(d) Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2013.
(e) Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.
(f) Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.
PENTAKSIRAN

(a) Peperiksaan UPSR bagi matepelajaran Sains dan Metematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016.

(b) Peperiksaan PMR bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehinggan tahun 2013.
(c) Peperiksaan SPM bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2015.
Ini bermakna penggunaan Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda bagi SJK(C) dan SJK(T) bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik akan dilaksanakan sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah menengah akan terlaksana pada tahun 2016. Walau bagaimanapun pengajaran Sains dan Matematik bagi Tingkatan 6 dan Matrikulasi akan kekal dalam Bahasa Inggeris.

Jadual Pelaksanaan MBMMBI dan mekanisme “soft landing” adalah seperti yang dilampirkan.

“Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita.
Kementerian Pelajaran sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses transisi pada tahun 2012 nanti.
Satu pendekatan soft-landing akan diambil untuk memastikan pencapaian pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di bawah dasar PPSMI tidak akan terjejas.

Pihak Kementerian juga telah membentuk enam Jawatankuasa Kecil sebagai persiapan untuk melaksanakan dasar baru ini. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, lojistik, personel dan penerangan. Melalui kefahaman, sokongan dan usaha berterusan seluruh warga pendidik dalam menjayakan dasar baru ini, kita akan dapat mencapai matlamat menambahbaik kualiti pendidikan di negara kita secara berterusan demi kepentingan masa depan negara.

Rasional

• Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah menghakis kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dalam bidang tersebut.

• Penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar telah mantap bagi semua mata pelajaran yang dimulakan sejak tahun 1970an.

• Kebanyakkan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu.

Pelaksanaan

• Bermula dengan Tahun Satu, Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat. Pada masa yang sama Bahasa Cina digunakan di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT

• Perubahan tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi

• Perubahan sepenuhnya mengambil masa selama 3 tahun

• Bermula pada tahun 2012

• Peperiksaan SPM Sains dan Matematik dalam dwi bahasa sehingga 2015

Strategi Meningkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris

• Menyediakan guru BI yang mencukupi menerusi pengambilan guru bersara, guru dari luar negara dan IPTS selain daripada pengambilan melalui IPGM dan IPTA

• Menyediakan guru BI di luar norma iaitu 2 orang guru bagi setiap kelas berenrolmen tinggi (contoh: melebihi 35 murid)

• Menyediakan bahan bacaan Bahasa Inggeris

• Memperkenalkan language arts dalam P&P Bahasa Inggeris
Strategi Memartabatkan Bahasa Malaysia

• P&P Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia di Tingkatan Satu hingga Lima di SMK dan SK manakala, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT

• Menambah waktu P&P Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT

• Menggunakan ICT dalam P&P Bahasa Malaysia

• Menyediakan bahan bacaan Bahasa Malaysia

• Memperkenalkan seni bahasa dalam P&P Bahasa Inggeris
Sumber : http://suzanalelawatty.blogspot.com

Dasar MBMMBI Murid Tahun Satu Mulai 2011
Kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk melaksanakan dasar baru iaitu memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuh bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid tahap satu mulai tahun 2011. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, murid tahun satu yang baru memasuki persekolahan tidak terlibat dengan dasar lama.
Tambah beliau lagi, perkara ini bergantung kepada beberapa faktor antaranya bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk mata pelajaran sains dan matematik sekiranya ia dapat disiapkan pada akhir tahun 2010, kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.
Menurut beliau, pelaksanaan dasar MBMMBI bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pula akan bermula pada tahun 2012.
Langkah itu, katanya, adalah untuk membolehkan Kementerian Pelajaran membuat persiapan rapi dengan mengambil kira semua keperluan pengajaran dan pembelajaran disediakan secara teratur.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga menteri pelajaran menegaskan, kerajaan komited tidak akan kembali kepada dasar pengajaran dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana dasar baru iaitu MBMMBI adalah selaras dengan keperluan negara untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sumber : Kosmo online 21 oktober 2009

MBMMBI Mampu Bela Pelajar Tercicir
Keputusan kerajaan untuk mengkaji mempercepatkan pelaksanaan dasar baru memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012 mampu membela nasib pelajar sekolah rendah yang sebelum ini keciciran berikutan subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.
Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Profesor Datuk Dr Zainal Kling, berkata pelaksanaan dasar baru yang menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu tidak boleh dilengahkan lebih lama kerana sejak PPSMI diperkenalkan enam tahun lalu, ia memberi kesan negatif kepada pelajar sekolah rendah terutama di luar bandar.

Akhbar melaporkan keputusan kerajaan mengkaji mempercepatkan pelaksanaan MBMMBI bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran bagaimanapun berkata, pelaksanaan lebih awal itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang perlu disiapkan akhir tahun depan.

Zainal berkata, pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu tidak memberi banyak masalah kerana ia pernah dilaksanakan sebelum PPSMI diperkenalkan.

Sementara itu, Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata keputusan kerajaan itu selaras dengan kehendak pertubuhan itu yang mahu pelaksanaan dasar itu dipercepatkan.

Mereka juga ingin menggesa kerajaan supaya dasar itu dilanjutkan pula di peringkat institusi pengajian tinggi selain tidak mengabaikan usaha untuk memperkasakan bahasa Inggeris. Selain itu, ucapan pemimpin negara dan papan tanda juga perlu menggunakan bahasa Melayu.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad turut menyokong dasar baru itu berharap bahasa Melayu akan dijadikan teras utama dalam pembinaan gagasan 1Malaysia.

Sumber : Berita Harian

Sunday 1 April 2012

Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca

Pelabuhan Melaka dan Bahasa Melayu

Penduduk Bandar pelabuhan Melaka bertambah dengan pesatnya sejak dari dibuka Kehadiran penduduk pedagang dan orang-orang yang menetap di Melaka menyebabkan ‘social contact’ yang tidak dapat dielakkan. Melaka terus sibuk.walaupun ada pedagang yang balik tetapi ada pedagang yang masih tinggal di Melaka menunggu ketibaan angin. Melaka merupakan tempat pertemuan dua angin monsoon. Mengikut statistic semasa zaman pemerintahan Sultan Mahmud terdapat kira-kiranunggu angina untuk belayar. Sebab itulah Pelabuhan Melaka bagitu sibuk. Namun demikian bilangan penduduk Melaka meningkat. Statistik di bawah menunjukkan kermaian penduduk Melaka.ialah 190 000 orang.
Adalah dikatakan terdapat 59 puak dan suku kaum orang asing di negeri Melaka dan mereka ini bertutur 84 bahasa yang berlainan. Berkat kepimpinan sultan dan pembesar-pembesarnya mereka ini tinggal dan berinteraksi satu sama lain dengan penuh harmoni dan kemesraan. Rahsia kemesraan, perpaduan dan keharmonian rakayat berbilang kaum, keturunan, puak dan suku ini adalah disebabkan elemen Bahasa Melayu yang dijadikan sebagai bahasa perantaraan, sistem politik yang stabil dan sifat toleransi semua pihak. Islamjuga menjadi teraju utama perpaduan orang-orang Melaka pada waktu itu kerana Islam menganggap setiap orang sebagai saudara
Bahasa Melayu merupakan elemen penyatuan penting pada waktu itu walaupun di Melaka terdapat lebih kurang 59 suku kaum, puak dan bangsa yang bertutur sebanyak 84 bahasa. Bahasa Melayu merupakan Lingua Franca yangmembolehkan integrasi sosial wujud dengan bagitu kukuh.

Setiap pedagang yang datang ke Melaka mestilah boleh bertutur bahasa Melayu bagi membolehkan mereka berdagang dengan bebas dan mendapat keuntungan yang banyak. Adalah didapati bahasa Melayu bukan sahaja dipertuturkan di pelabuhan Melaka dan pelabuhan-pelabuhan di Alam Melayu malah iadipertuturkan di pelabuhan-pelabuhan besar dunia seperti di Kaherah, Cambay, Ormus dan Venice. Tentu tidak hairan jika kedengaran bahasa Melayu dipertuturkan di pelabuhan Venice, pelabuhan yang sibuk menghubungi Eropah dan Timur.

Kapal dagang orang Venice di pelabuhan Genoa. Ramai pedagang-pedagang di sini boleh bertutur bahasa Melayu dalam menjalani transeksi perdagangan di Melaka dan lain-lain pelabuhan besar di dunia.
Bahasa Melayu digunakan dalam bidang pentadbiran, perniagaan dan perhubungan. Ia juga merupakan bahasa persuratan. Bahasa Melayu dikatakan sebagai
Bahasa Perantaraan (Lingua Franca)
Bahasa Komersial
Bahasa Pentadbiran
Bahasa Diplomatik
Bahasa Perundangan
Bahasa Ilmu
Bagi membolehkan pedagang-pedagang berkomunikasi dalam dunia komersial antarabangsa mereka sedikit sebanyak mesti berupaya berbahasa Melayu.Sehubung dengan itu beberapa cerdik pandai telah menysun kamus-kamus.

Sekolahku Tercinta


Sekolah Kebangsaan Jementah telah ditubuhkan pada tahun 1933. Tanah tapak sekolah ini seluas dua(2)ekar 0 rood tiga (3)pole, telah dihadiahkan oleh Allahyarham Encik Abdul Rahman bin Md Salleh, Naib Penghulu Mukim Jementah pada masa itu.
Bangunan asal ialah sebuah bangunan beratapkan rumbia, berdindingkan kulit kayu kepong, bertiangkan kayu bulat dan telah dibina secara gotong- royong.
Sekolah ini dinamakan Sekolah Melayu Jementah dan merupakan sekolah yang pertama dibina di Mukim Jementah.

Dalam tahun 1936 sebuah bangunan batu telah dibina oleh kerajaan untuk menggantikan bangunan asal. Bangunan ini telah dirasmikan oleh Allahyarham Dato' Abdullah B. Esa, Pesuruhjaya Kerajaan di Segamat pada ketika itu. Sebuah rumah guru juga telah dibina berhampiran dengannya.Dalam tahun 1951 sebuah bangunan tambahan (bangunan atap) telah didirikan oleh orang ramai secara gotong-royong. Dalam tahun 1953 sebuah bangunan tambahan (papan/ asbestos) telah dibina oleh kerajaan untuk menggantikan bangunan tambahan yang didirikan pada tahun 1951.

Dalam tahun 1981 sebuah bangunan baru dua tingkat berserta dengan kantin telah didirikan. Bangunan ini telah dirasmikan oleh Y.A.B. Dato'Musa B. Hitam S.P.M.J, S.S.I.J, S.P.M.S, D.U.N.M,S.P.N.S,B.S.I, P.I.S, S.P.D.K Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1985.

PENGASAS SEKOLAH
Penubuhan sekolah ini adalah hasil daripada daya usaha individu yang berikut:
1. Allahyarham En. Abdul Kahar B. Abdul Rahman (Penghulu Mukim Jementah)
2. Allahyarham En. Abdul Rahman B. Mohd. Salleh (Naib Penghulu Mukim Jementah)
3. Allahyarham Sarjan Mustaffa (Ketua Balai Polis Jementah)
4. Tuan Haji Abdul Majid B. Abdul Jalil (Ketua Kg. Sg. Siput, Jementah)

Butir-butir bangunan sekolah:
1. Sekolah ini mempunyai 3 blok bangunan.
1.1. Blok A : Bangunan 2 tingkat mengandungi Pejabat, Bilik
Pentadbiran (guru besar dan GPK), Bilik Guru, Kelas
Prasekolah, Kelas Program Pendidikan Khas Integrasi
dan Bilik Persalinan.
1.2. Blok B : Bangunan 4 tingkat mengandungi, Bilik Sains, Bilik
Kemahiran Hidup, Bilik Pengurusan Sukan, Tandas,
Bilik Fail, Bilik Muzik, Bilik Komputer, Bilik Mesyuarat,
Perpustakaan dan kelas- kelas 1MH, 2MH, 2MJ, 3MH,
3MJ, 4MH, 4MJ
1.3. Blok C : Bangunan 4 tingkat mengandungi Dewan Terbuka,
Bilik Seni, Bilik JQAF,Kelas 1MJ,Surau, Bilik Pemulihan
Khas,Bilik Operasi SPBT, Bilik Bimbingan & Kaunseling,
Kelas 5MH, 5MJ, 6MH, 6MJ

Syarahan 2 - Penjagaan Alam Sekitar

Kepentingan Memelihara Alam Sekitar

Alam sekitar adalah alam di sekeliling kita seperti sungai,tumbuh-tumbuhan,dan bukit-bukau.Kita perlu memelihara keseimbangan alam sekitar.Alam sekitar yang bersih akan menjadikan kehidupan kita lebih baik.

Alam sekitar adalah anugerah Tuhan kepada kita.Alam sekitar yang terpelihara akan dapat mendamaikan jiwa kita.Persekitaran bersih dan indah sesuai dijadikan tempat tinggal.Selain itu,alam sekitar yang tidak tercemar akan dapat menarik kedatangan ramai pelancong.

Tumbuh-tumbuhan perlu dipelihara kerana ia menjadi unsur penting dalam keseimbangan alam.Tumbuh-tumbuhan mengeluar kan gas oksigen.Gas oksigen ini diperlukan oleh manusia untuk pernafasan.Haiwan juga memerlukan tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan suber makanan.

Selain itu,bukit-bukau dan gunung-ganang juga perlu dipelihara.Hutan tebal yang menghijau dijadikan sebagai kawasan tadahan hujan.Kawasan hutan menjadi habitat pelbagai jenis haiwan seperti harimau,singa dan gajah.Aktiviti pembalakan dan pertanian perlu dikawalkan agar tidak menjejaskan keseimbangan alam sekitar.

Sungai dan lautan juga adalah sebahagian daripada alam sekitar yang perlu dipelihara.Sungai yang bersih merupakan sumber air kepada kita.Lautan yang terbertang luas menjadi tempat nelayan menangkap pelbagai jenis ikan.Kita perlu memelihara sungai dan lautan agar tidak tercemar supaya pelbagai jenis ikan dapat terus membiak.

Sesungguhnya,kita perlu memelihara alam sekitar daripada pencemaran.Alam sekitar yang bersih akan menjadikan kehidupan kita lebih baik.Alam sekitar yang terpelihara merupakan hadiah yang tidak ternilai kepada generasi akan datang

Langkah-langkah untuk Menjaga Alam Sekitar
Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira bangsa, agama dan negara. Alam sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air seperti sungai dan laut. Alam sekitar masa kini semakin tercemar kerana terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan pencemaran seperti pembuangan sampah di sungai-sungai, penggunaan baja-baja kimia dan pelbagai lagi. Alam sekitar seharusnya dijaga kerana alam sekitar bukan hanya digunakan pada masa sekarang tetapi akan digunakan sehingga beratus-ratus tahun lagi. Oleh iu, untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar beberapa langkah menjaga alam sekitar perlulah diambil.
Langkah-langkah yang boleh diambil adalah melalui pendedahan media massa. Media massa ini termasuklah televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan surat khabar . Pada hari ini, media massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Media massa kini perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sekitar, terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen. Hal ini kerana televisyen adalah satu media elektronik yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelusuk dunia. Hal ini sedemikian kerana setiap manusia atau individu perlu mengetahui tentang keadaan alam sekitar yang semakin tercemar dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka untuk menjaga alam sekitar. Surat khabar dan majalah pula adalah media yang banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam sekitar. Pihak-pihak berwajib sepatutnya perlu mendedahkan isu-isu pencemaran ini dengan lebih luas di jaringan-jaringan internet kerana masyarakat kini lebih banyak menggunakan media tersebut berbanding media-media lain.

Selain itu, langkah untuk menjaga alam sekitar ialah melalui kempen alam sekitar. Antara kempen-kempen yang boleh dilakukan ialah kempen cintailah sungai kita, kempen kitar semula, sahabat alam dan sebagainya.Dalam kempen-kempen ini masyarakat akan didedahkan tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menjaga alam sekitar seperti menguruskan sisa pembuangan supaya kurang memberi pencemaran kepada alam sekitar. Kempen kitar semula pula dapat menggalakkan pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Dengan itu, masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan dapat megurangkan pencemaran alam sekitar. Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-pokok bunga dan membersihkan kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan. Penanaman pokok bunga bukan sahaja dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat mengembalikan semula kehijauan sesuatu tempat serta dapat membuktikan betapa pentingnya hidupan hijau di bumi ini.

Langkah ketiga bagi mengatasi pencemaran alam sekitar pula ialah melalui organisasi-organisasi seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan juga syarikat-syarikat tertentu. Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah dalam pelajaran Alam dan Manusia. Pada peringkat menengah khususnya dalam pelajaran sains seperti Biologi dan di peringkat pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran. Guru-guru sekolah haruslah bersikap prihatin terhadap alam sekitar dan bersifat cintakan alam sekitar. Hal ini penting supaya setiap guru dapat menanamkan perasaan cinta alam sekitar kepada pelajar-pelajar melalui pendidikan moral di sekolah. Pertandingan kelas terbersih di antara kelas juga perlu dijalankan agar perasaan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam diri pelajar dapat disemai. Di peringkat tinggi, pelajar didedahkan dengan proses kitaran alam sekitar dan cara alam sekitar berinteraksi dan hubungannya dengan hidupan lain di bumi ini. Dengan itu, sikap sayangkan alam sekitar akan dapat dipupuk dalam diri pelajar .

Langkah seterusnya ialah melalui penggunaan teknologi moden. Penggunaan teknologi moden untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar adalah amat penting. Penggunaan teknologi moden dapat mengawal dan mengurangkan pencemaran dengan lebih cepat dan efektif. Dengan adanya teknologi moden, tumpahan minyak di lautan adalah lebih mudah dibersihkan tanpa meninggalkan sisa tumpahan minyak. Selain itu, dengan menggunakan teknologi moden kita dapat menjalankan aktiviti kitar semula bahan-bahan buangan dan sisa-sisa pepejal seperti surat khabar, majalah lama, kain dan bahan-bahan plastik. Hal ini sudah tentu akan dapat mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak sempurna. Penggunaan teknologi moden seperti penapis udara yang dipasang pada ekzos kenderaan dan cerobong asap kilang-kilang perindustrian telah dapat mengurangkan kadar gas karbon monoksida yang dilepaskan. Hal ini akan dapat mengurangkan kadar pencemaran udara di sekeliling.

Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar semakin hari semakin meningkat mengikut pertambahan bilangan pengguna. Saya berharap setiap individu dapat mengambil pengajaran tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar agar alam sekitar yang semakin tercemar ini dapat dipulihkan semula dan dapat dijaga dengan lebih baik pada masa hadapan. Pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan haruslah memainkan peranan penting dalam memulihkan dan memelihara alam sekitar. Sebagai golongan yang berkuasa mereka pasti dapat menjaga dan mengawal alam sekitar daripada terus tercemar.


Keburukan dan Kesan Tidak Menjaga Alam Sekitar

Kesan Pencemaran Alam Sekitar 1

Pencemaran alam sekitar telah memberi kesan yang buruk terhadap hidupan di dunia pada masa kini. Di antara kesan utama yang menimpa manusia akibat daripada pencemaran alam sekitar ialah terhadap udara, suhu persekitaran dan lain-lain. Pencemaran pada hari ini semakin berterusan dari semasa ke semasa. Sememangnya pencemaran alam sekitar memberi kesan buruk.

Pencemaran udara memberi kesan yang sangat buruk terhadap tumbuh-tumbuhan di dunia ini. Tumbuh-tumbuhan mengalami kerosakan dengan tiga cara iaitu Nekrosis(Keguguran daun), Klorosis (Pertukaran warna), dan perubahan pertumbuhan. Barli, kapas, gandum dan epal adalah antara tumbuhan yang mudah mengalami kerosakan dengan bahan cemar sulfur dioksida. Selain itu, tomato, kekacang, bayam dan kentang juga mengalami kerosakan dengan adanya gas ozon di udara. Keadaan ini menyebabkan bumi kekurangan sumber makanan dan ekonomi sebahagian daripada penduduk di bumi juga terganggu.
Seterusnya, bahan cemar juga menyebabkan haiwan-haiwan terancam dan terbunuh. Haiwan – haiwan akan kehilangan habitat kerana bahan tercemar telah memusnahkan tempat tinggal mereka .Maka,haiwan - haiwan terbunuh dan spesis-spesis yang istimewa juga akan menghadapi kepupusan. Bahan-bahan tercemar seperti sulfur dioksida yang terlepas ke udara oleh kenderaan akan menyebabkan penghadaman makanan haiwan terjejas. Hal ini menyebabkan haiwan-haiwan kehilangan nyawa kerana bahan – bahan toksid di udara ini telah diserap ke dalam tubuh badan haiwan tersebut. Sebagai contohnya, gajah,harimau,kuda-kuda,singa dan sebagainya.

Pencemaran udara juga menyebabkan penyusutan lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di bumi ini daripada sinaran terus matahari. Pembebasan gas klorofluorocarbon atau CFC yang digunakan dalam alat-alat penyembur, alat penyaman udara dan peti sejuk menipiskan lapisan ozon ini. Ini menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga hidupan lain. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairaan kepada ais-ais di bahagian kutub-kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini.
Seterusnya, pencemaran udara juga menyebabkan terbentuknya Hujan asid yang disebabkan oleh penggabungan gas-gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan. Hal ini berlaku apabila gas-gas sulfur oksida (SO2) dan oksida-oksida nitrogen (NOx) dilepaskan ke udara dan bertindakbalas dengan wap air yang terdapat di atmosfera dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini terkumpul di dalam awan dan awan pula bergerak ke tempat- tempat lain dan membawa asid-asid tersebut. Asid itu akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia.Hal ini membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air.Hal ini juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur.

Selain itu,kesan yang paling ketara dan sedang hangat diperkatakan oleh seluruh warga dunia pada masa kini adalah kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global ini yang dapat dirasakan oleh seluruh penduduk bumi. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida yang terkumpul di dalam udara. Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat , persekitaranya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga adalah faktor utama kejadian pemanasan global ini. Pemanasan global menyebabkan keadaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal.Sebagai contohnya,kegiatan tsunami yang berlaku di Indonesia telah banyak mengorbankan nyawa manusia dan harta benda. Kebakaran hutan yang berlaku juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada suhu di bumi ini dan juga menjejaskan kualiti udara.
Pencemaran bunyi terhadap dunia pada masa kini termasuklah menggangu persekitaran dengan keadaan bunyi yang bising sehingga tahap yang melampau. Pencemaran bunyi akan menyebabkan keadaan persekitaran sangat bising dan menjadikan kehidupan manusia serta kehidupan lain terganggu. Haiwan juga berasa takut dan ingin berhijrah ke habitat baru yang lebih senyap dan nyaman. Hal ini akan menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem.
Pencemaran bunyi menyebabkan kerosakan pada telinga manusia secara serta-merta dan juga secara kronik. Sekiranya telinga menerima bunyi yang kuat iaitu lebih daripada 120 dB, selaput tympanum di dalam telinga akan pecah serta kerosakan tulang kecil pada telinga dan ini menyebabkan kehilangan pendengaran kekal. Pendedahan berpanjangan kepada bunyi kuat iaitu lebih 85 dB dalam masa 8 jam sehari, ia akan merosakkan koklia dan menyebabkan pendengran menjadi tidak berkualiti dan kemungkinan juga akan menjadi pekak secara perlahan-lahan
Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar memang memberi kesan buruk kepada seluruh alam sekitar di bumi ini. Saya berharap pihak berwajib dapat memantau supaya pencemaran ini dapat dikurangkan supaya kehidupan di bumi ini lebih selesa.


Kesan-kesan Pencemaran Tanah dan Air

Pencemaran tanah bermaksud perbuatan atau bencana semula jadi yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga kawasan tersebut telah bertukar warna , tidak subur atau berlakunya hakisan. Ia boleh di bahagikan kepada dua jenis iaitu dalam bentuk cecair atau pepejal. Kebanyakan bahan pencemar ini adalah terdiri daripada organik atau kimia. Tahap pecemaran adalah serius apabila sesuatu kawasan tanah telah bertukar warna , tidak subur serta tumbuh-tumbuhan dikawasan tersebut menjadi layu. Kebanyakkan tanah yang tercemar adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia itu sendiri. Sebagai contoh ialah perlombongan, penebangan hutan yang memyebabkan aliran tanah dari darat ke laut, pembuangan sampah-sarap, sisa toksik dan kumbahan yang tidak terkawal,dan tumpahan minyak dan pembuangan sisa nuklear ke dalam laut.
Sampah-sarap yang dibuang di kawasan-kawasan lapang akan
menjadi tempat pembiakan kuman penyakit. Tikus, lipas, lalat dan haiwan-haiwan
perosak yang lain akan tertumpu di kawasan tersebut dan menyebarkan kuman-kuman ke tempat-tempat lain. Makanan yang dihinggapi lalat atau dimakan lipas ,jika dimakan oleh manusia akan menyebabkan keracunan makanan dan seterusnya diserang penyakit yang serius. Sekiranya serius, akan membawa kematian kepada manusia atau munculnya penyakit baru yang bahaya seperti H1N1 dan SARS yang mudah berjangkit.

Satu lagi kesan pencemaran tanah ini adalah hakisan. Hakisan tanah adalah salah satu fenomena yang sangat sering berlaku di seluruh dunia. Ia bukan sahaja merugikan dari sudut kewangan dan ekonomi bahkan juga mengancam keselamatan dan nyawa manusia, misalnya tanah runtuh dan juga gempa bumi. Terdapat banyak negara-negara yang sedang diancam hakisan tanah. Contohnya negara Jepun yang sering berlaku gempa bumi akibatnya ramai manusia kehilangan harta benda.. Antara aktiviti-aktiviti manusia yang boleh menyebabkan hakisan adalah pembersihan dan pembajakan serum bukit yang menyebabkan tiada tumbuhan yang dapat menahan tanah daripada dialirkan bersama-sama dengan air apabila hujan lebat. Selain itu, pembinaan rumah-rumah di tengah bukit juga akan menyebabkan tanah runtuh apabila berlaku hujan kilat. Nyawa manusia yang tinggal di tengah-tengah bukit dan di kaki bukit akan tergugat.

Kesan daripada pencemaran tanah ini kepada dunia sangat ketara seperti pencemaran-pencemaran lain juga. Ianya juga memberi kesan yang cukup buruk terhadap kesihatan manusia dan hidupan-hidupan lain. Pembuangan sampah-sarap, sisa toksik dan nulear akan menjadikan kawasan tanah beracun dan tidak sesuai untuk didiami oleh manusia dan haiwan. Contoh letupan loji nuklear di Chernobyl, Russia. Kesannya dapat dirasai sehingga ke Sweden, kerana 23 orang telah dilaporkan mati akibat daripada kesan radioaktif nuklear tersebut. Semua penduduk di sekitar tersebut telah dipindahkan ke tempat lain.


Pencemaran air berlaku apabila terdapat perubahan dari segi kandungan, keadaan, warna dan kualiti sehingga tidak sesuai untuk diguna dan akan memberi kesan kepada para pengguna apabila menggunakan air tersebut. Pencemaran berlaku sama ada dari segi biologi, kimia, dan fizikal. Pencemaran air bukan hanya berlaku di sungai sahaja,tetapi juga di laut,pantai, tasik kolam dan sebagainya sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Punca utama yang mengakibatkan pencemaran ini adalah daripada bahan pencemar dari kilang-kilang yang berdekatan. Keadaan atau tahap pencemaran sumber air boleh dinilai berdasarkan beberapa faktor yang mempengaruhi kualiti air tersebut iaitu oksigen terlarut, keperluan oksigen biokimia (BOD), zat terlarut dalam air, pH, dan suhu. Secara saintifik, pencemaran air boleh diklasifikasikan kepada beberapa jenis iaitu pencemaran fizikal, kimia, fisiologis dan biologi. Pencemaran fizikal ini ditentukan oleh perubahan warna, suhu dan kekeruhan sumber air tersebut. Punca yang biasanya menyebabkan pencemaran jenis ini ialah seperti pembuangan sampah. Manakala pencemaran kimia biasanya disebabkan oleh zat organik termasuk protein, karbohidrat, lemak dan bahan buangan industri yang mengandungi garam beracun serta tumpahan minyak di laut.

Kesan-kesan daripada pencemaran air ini menimbulkan pelbagai masalah kepada hidupan-hidupan di dunia pada masa kini termasuklah manusia sendiri. Bahan-bahan yang dibuang ke dalam sungai akan menyebabkan hidupan akuatik tersebut mati apabila memakan bahan beracun dari sumber air yang telah tercemar ini. Manusia juga akan mendapat penyakit yang serius jika mengambil sumber makanan hidupan air tersebut. Selain itu, manusia akan mendapat penyakit jika terminum air yang penuh bahan-bahan cemar seperti lumpur, pasir dan batu halus, karat besi, bahan buangan industri, logam berat, racun rumpai, bakteria, virus, dan haloform.

Pencemaran air juga menjadi masalah yang amat serius di negara dunia ketiga iaitu jutaan manusia mendapatkan air minuman dari kawasan yang dicemari dengan bahan buangan manusia sendiri. Pencemaran sebegini dikatakan menyebabkan lebih tiga juta kematian setiap tahun kerana cirit-birit, kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak.


Selain itu pencemaran air juga menjadi punca kepada banjir yang berlaku di dunia pada masa kini. Banjir-banjir yang kerap berlaku disebabkan oleh tersumbatnya parit yang sepatutnya mengalirkan air ke laut. Disebabkan oleh pembuangan sampah-sarap ke dalam sungai yang menyebabkan sampah sarap menyumbatkan aliran air tersebut. Selain daripada itu air juga menjejaskan keindahan alam. Pantai-pantai yang dipenuhi dengan sampah-sarap dan air yang kotor menjengkelkan dan tidak indah untuk dipandang akibat daripada pembuangan sampah-sarap ke lautan. Sesetengah kilang akan memperuntukkan kawasan untuk pembuangan sisa-sisa kilang. Tetapi, apabila berlaku hujan lebat atau loji pecah, sisa-sisa ini akan terkeluar dan menyebabkan dua masalah iaitu, pertama ialah jika sisa ini mengalir di permukaan, maka ianya akan mengalir di dalam sistem saliran terutamanya parit dan sungai. Masalah kedua pula ialah sekiranya sisa ini mengalir ke dalam sistem bawah tanah yang akan menyebabkan sistem air bawah tanah tercemar.
Kesimpulanya pelbagai langkah yang berkesan haruslah di ambil untuk mengatasi masalah-masalah pencemaran daripada berleluasa. Barulah generasi yang akan datang mempunyai persekitaran yang baik dan bebas daripada pelbagai pencemaran.

Syarahan 1-MASYARAKAT BERILMU MENJAMIN KESTABILAN NEGARA

bismillah hirrahamanirahim..
Asslamualaikum wmthbrkth....
Alhamulillah.......

Kalungan apreasasi untuk Pengacara majlis, barisan panel hakim yang bertunjangkan keadilan, seterusnya umat Muhammad sekalian.

Firman Allah


Allah mengangkat darjat orang yang berilmu diantara kamu ke beberapa darjat. Justeru ,tampillah saya di podium ini demi melakarkan wacana yang bertemakan .MASYARAKAT BERILMU MENJAMIN KESTABILAN NEGARA.

Lantas, saya tampilkan dahulu intepretasi yang membina maudhuknya.Masyarakat berilmu membawa konotasi sebuah kelompok individu yang mempunyai pengetahuan dan kepandaian, Menjamin ditakrifkan sebagai memastikan, Manakala frasa kestabilan Negara membawa maksud, kerajaan yang utuh dan kukuh. Secara totalnya, tajuk ini akan memperkatakan tentang, keutuhan Negara dapat dibentuk andainya kelompok individu mempunyai pengetahuan dan kepandaian yang luas serta mengamalkannya

Muslimin dan muslimat,

1. ILMU EKONOMI ASPIRASI KEJITUAN NEGARA.
Kemantapan ilmu ekonomi melahirkan sebuah daulah yang aman dan makmur serta bebas daripada gejala rasuah mahupun spekulasi. Julai 1997, Malaysia membuktikan, minda kritis ilmuan ekonomi negara mengaplikasikan sistem ekonomi islam lantas membantutkan kejatuhan ekonomi dasyat yang direncanakan oleh spekulator dunia. Natijahnya, negara kita utuh sehingga kini.
Firman Allah:


“dan aku menghalalalkan jual beli serta mengharamkan riba”
Konklusinya, dinamika ilmu ekonomi aspirasi daulah yang aman.

2. ILMU ASTRONOMI NAHDAH GENERASI FUTURISTIK
Astronomi ialah kajian tentang bintang, bulan dan cakerawala. Keajaiban ilmu astronomi memampukan insan bestari mengkaji dan membangkar rahsia alam. Harun Yahya,saintis Islam , dalam laman webnya, memaparkan Era Degenerat , akan berlaku 100 hingga 1037 trillion akan datang. Bahkan,hasil Revolusi intelegensia memungkinkan kemunculan pelbagai teknologi terkini seperti setelit, natijah penguasaan dan pembongkaran ilmu astronomi.

Firman Allah
Surah Ar-rahman :5
Matahari dan bulan berputar mengikut putarannya.
Jelas, Ilmu astronomi pemangkin Kesejahteraan Negara.

Sidang saksi bermisi,
3. ILMU MATEMATIK MENCERNA KESTABILAN NEGARA.
Ilmu matematik ialah bidang yang melibatkan kira-kira. Lihatlah bagaimana keunggulan ilmu matematik Al-Khawarizmi.Teorem Pithagoras diaplikasikan sehingga hari ini sebagai asas dalam bidang ukur-mengukur seterusnya memungkinkan Menara Berkembar PETRONAS, Eiffel Tower dan pelbagai bangunan berdiri utuh.
Firman Allah:




Konklusinya, ilmu matematik mencerna negara yang mantap.

Sidang saksi bervisi,
4. PERUBATAN MENJAMIN KESIHATAN SEJAGAT
Perubatan ialah ilmu berkaitan kesihatan sejagat. Pengaplikasian ilmu perubatan yang diterajui oleh Ibnu Sina dengan Al-Kanun Fil Tibb menjadi nahdah kesejahteraan jutaan Filosof dan intelektual. Hari ini, segala penyakit bagaikan tiada sempadan penawarnya hatta penyakit aids mampu diubati dengan pokok bintangor ,hasilbumi Negara kita, dengan izin Allah, natijah penguasaan ilmu perubatan.
Firman Allah:

Setiap penyakit ada ubatnya
Justeru, ilmu perubatan mampu mewujudkan umat yang berkualiti fizikal dan mental.

Hadirin sekalian,
5. ILMU KEJURUTERAAN MANJANA KEAMPUHAN NEGARA
Kejuruteraan mampu merevolusikan dunia dengan perubahan yang dibawa. Lihatlah hebatnya dunia hari ini dengan besi yang berterbangan di udara, suara dan wajah yang didengar dan dilihat beribu batu jauhnya, pedati yang bertukar kepada lrt, natijah ilmu kejuruteraan.
Firman Allah,

“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka.”
Jelasnya,ilmu kejuruteraan menjana pembangunan globalisasi.

Sidang hadirin,
6. ILMU TELEKOMUNIKASI NUKLEUS UMMATUN IZZAH
Telekomunikasi ialah perhubungan meliputi telefon,internet dan komputer. Kewujudan gentian optic,jalinan megamaya akan merapatkan silaturrahim umat Muhammad seterusnya menjana integrasi.
Firman Allah,

“Tidak beriman seseorang itu sehingga mereka saling mengasihi saudara mereka sebagaimana mereka mengasihi diri mereka sendiri”
Tegasnya,Kecanggihan ilmu telekomunikasi mampu melahirkan perpaduan unggul.

Saudara saudari,
7. AL-QURAN TERAS SEGALA ILMU UNTUK MENCORAK KESTABILAN NEGARA
Al- Quran ialah kitab yang termaktub segala ilmu di dalamnya dan tiada sempadan . Penghayatan ilmu al-quran ternyata mampu melahirkan masyarakat yang dinamik, efektif dan futuristic. Sejarah membuktikan penguasaan dan pengaplikasian ilmu al-quran melahirkan intelegensia seperti Ibn Rusd, Ibn Sina dan Ibn Batutah.
Sabda Rasullullah


Telah aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara, selama kamu berpegang padanya, nescaya tidak akan sesat selama-lamanya.Kitabullah dan sunnah Rasullullah.
Sesungguhnya, betapa indah dan cantiknya masyarakat al-Quran yang pasti menjamin kemantapan Negara.

Kesimpulannya.
1. ILMU EKONOMI ASPIRASI KEJITUAN NEGARA.
2. ILMU ASTRONOMI NAHDAH GENERASI FUTURISTIK
3. ILMU MATEMATIK MENCERNA KESTABILAN NEGARA.
4. PERUBATAN MENJAMIN KESIHATAN SEJAGAT
5. ILMU KEJURUTERAAN MANJANA KEAMPUHAN NEGARA
6. ILMU TELEKOMUNIKASI NUKLEUS UMMATUN IZZAH
7. AL-QURAN TERAS SEGALA ILMU UNTUK MENCORAK KESTABILAN NEGARA